Matriks Pembelajaran Tahun 4

Pak Samad, pekedai dalam dunia Pawa, berdiri di kedainya
Pak Samad: “Jangan risau pasal Oktober dulu. Kira elok-elok hari ini, nanti senang.”

Matriks Pembelajaran Tahun 4 ialah pentaksiran berpusat baharu yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, diperkenalkan di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang dilancarkan pada 20 Januari 2026. Mengikut jadual waktu rasmi Lembaga Peperiksaan (LP/MPT4/2026), ia berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2026 dan melibatkan empat mata pelajaran teras: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

KPM menyatakan ia bukan peperiksaan berisiko tinggi. Ia sebuah instrumen pentaksiran diagnostik: tujuannya mengesan tahap penguasaan murid lebih awal supaya bantuan boleh diberi di Tahun 5 dan Tahun 6, bukan untuk meluluskan, menggagalkan atau menyusun kedudukan sekolah. Ia juga bukan UPSR baharu.

Satu perubahan yang perlu ibu bapa tahu: mata pelajaran yang ditaksir dalam Matriks Pembelajaran tidak lagi ditadbir dalam UASA bagi murid Tahun 4. Halaman ini mengumpulkan jadual waktu rasmi, format kertas dan jawapan kepada soalan yang paling kerap ditanya.

Bila Matriks Pembelajaran Tahun 4 2026 dijalankan?

Mengikut jadual waktu rasmi Lembaga Peperiksaan bertarikh 18 Jun 2026, Matriks Pembelajaran Tahun 4 berlangsung selama tiga hari, dari Selasa 6 Oktober hingga Khamis 8 Oktober 2026.

Pada Selasa 6 Oktober: Bahasa Melayu (kod kertas 041) dari 8:10 hingga 9:25 pagi, dan Bahasa Inggeris (043) dari 10:10 hingga 11:25 pagi. Pada Rabu 7 Oktober: Matematik (045 bagi SK, 055 SJKC, 065 SJKT, 075 DLP) dari 8:10 hingga 9:25 pagi, dan Sains (048, 058, 068, 078 mengikut aliran yang sama) dari 10:10 hingga 11:25 pagi.

Khamis 8 Oktober hanya melibatkan murid Sekolah Jenis Kebangsaan: Bahasa Cina (056) dari 8:10 hingga 9:25 pagi dan Bahasa Tamil (066) dari 10:10 hingga 11:25 pagi. Sekolah Kebangsaan selesai dalam dua hari.

Sebelum setiap kertas, Ketua Pengawas memberi 10 minit untuk murid mengisi butiran pada muka hadapan instrumen. Murid Berkeperluan Khas (MBPK) diberi masa tambahan 30 minit bagi setiap kertas.

Ada adik yang belum ke Tahun 4? Kukuhkan asasnya sekarang — Latihan Prasekolah hingga Tahun 3, disusun ikut standard KPM. Percuma untuk mula — tiada pendaftaran, tiada kad kredit.

Apakah format kertas Matriks Pembelajaran Tahun 4?

Setiap kertas mengambil masa 1 jam 15 minit dan mengandungi gabungan item objektif dan item subjektif dalam satu kertas yang sama. Tiada kertas berasingan untuk bahagian objektif dan subjektif.

Kertas soalan disediakan secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan dan diselaraskan di semua sekolah, jadi murid di seluruh negara menjawab instrumen yang sama pada waktu yang sama. Ini berbeza daripada UASA, yang disediakan dan ditadbir oleh sekolah masing-masing.

Bagi Tahun 4, pentaksiran ini menilai literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik. Keputusan dilaporkan melalui kaedah penetapan standard dengan gred berdasarkan julat markah, dan slip pencapaian dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan untuk dicetak oleh sekolah.

Adakah Matriks Pembelajaran menggantikan UASA?

Tidak sepenuhnya, tetapi ia mengubah UASA bagi murid Tahun 4. Mata pelajaran yang ditaksir dalam Matriks Pembelajaran tidak lagi ditadbir dalam UASA untuk tingkatan tahun berkenaan, jadi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains Tahun 4 kini diambil melalui Matriks Pembelajaran.

UASA sendiri tidak dimansuhkan. Ia diteruskan untuk mata pelajaran dan tahun yang tidak terlibat dengan Matriks Pembelajaran, termasuk murid Tahun 5 dan Tahun 6.

Kedua-duanya juga bukan pengganti UPSR. UPSR dimansuhkan pada 2021 dan tiada peperiksaan awam baharu mengambil tempatnya di sekolah rendah — penjelasan penuh ada di halaman UASA dan UPSR.

Adakah keputusan Matriks Pembelajaran menjejaskan masa depan anak?

Mengikut KPM, tidak. Ia bukan pentaksiran berisiko tinggi dan tidak digunakan untuk menentukan kelulusan, kegagalan, kemasukan ke sekolah khusus, atau kedudukan sekolah.

Tujuannya intervensi awal. Keputusan menunjukkan di mana jurang pembelajaran berada supaya guru boleh bertindak semasa murid berada di Tahun 5 dan Tahun 6, iaitu ketika masih ada masa untuk memperbaikinya.

Ini juga bermakna persediaan terbaik bukan menghafal kertas ramalan. Yang membantu ialah penguasaan asas literasi dan numerasi yang dibina sepanjang Tahun 1 hingga Tahun 4.

Anak saya belum Tahun 4. Apa yang perlu disediakan?

Matriks Pembelajaran menilai literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik — semuanya dibina jauh sebelum Tahun 4. Murid Tahun 1 hingga Tahun 3 tidak menduduki apa-apa pentaksiran berpusat, dan itu memang tempoh yang sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan asas.

Pawa pada masa ini meliputi Prasekolah hingga Tahun 3, dengan latihan Matematik dan Bahasa Melayu yang diselaraskan dengan KSSR dan DSKP. Bagi anak dalam lingkungan itu, halaman latihan Matematik Tahun 1 dan Bahasa Melayu Tahun 1 ialah tempat yang baik untuk bermula.

Untuk Tahun 4 hingga Tahun 6, Pawa dijangka dibuka pada awal 2027. Perlu kami nyatakan dengan jelas: itu selepas Matriks Pembelajaran Oktober 2026, jadi Pawa tidak boleh membantu anak Tahun 4 bersedia untuk pentaksiran tahun ini.